Kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 masih lagi menjadi tanda tanya apabila kerajaan sendiri masih belum pasti mekanisme yang akan digunakan.

Di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyasaran subsidi terpaksa dilaksanakan kerana kerajaan menanggung sekitar RM20 bilion setahun.

Beliau turut mempersoalkan adakah munasabah bagi kerajaan meneruskan subsidi kepada bukan warganegara dan golongan teratas termasuk mahakaya ini?

Namun, adalah juga tidak munasabah untuk kerajaan 'pukul rata' bagi isi rumah berpendapatan RM13,295 ke atas sebagai golongan mahakaya atau T15 sekaligus tidak melayakkan mereka menerima penyasaran subsidi RON95 ini.

Pemuda MCA turut menantikan mekanisme yang akan dibentangkan oleh kerajaan bagi melaksanakan penyasaran subsidi ini dan berharap agar ia dapat disalurkan kepada golongan sasaran.

Kerajaan perlu melaksanakan satu kaedah yang tidak membeban dan mengelirukan, dalam masa yang sama terpakai untuk semua golongan. Kenapa perlu ada dua harga berlainan untuk bersubsidi dan T15 di stesen minyak? Bukankah itu lebih memeningkan?

Dalam masa sama, cadangan Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dengan melaksanakan levi petrol juga boleh digunapakai sekiranya bersesuaian dengan penyasaran tersebut.

Kami juga faham kerajaan dalam usaha melangsaikan hutang negara yang mencecah RM1.22 trilion dan antara cara yang efektif adalah dengan melaksanakan semula sistem percukaian yang telus seperti GST yang ditambahbaik.

Perdana Menteri sendiri akui bahawa GST merupakan sistem percukaian paling telus, efisien dan mampu menyumbang kepada pendapatan negara. Jadi kenapa tidak dilaksanakan?

Mike Chong Yew Chuan
Timbalan Ketua Pemuda MCA
29 Oktober 2024

- PENERANGAN MCA