Pemuda MCA menyifatkan tindakan mengibarkan bendera negara asing yang berlaku di Menara Condong, Teluk Intan baru-baru ini sebagai tindakan yang memalukan dan tidak patriotik terhadap Malaysia sebagai tanah air sendiri.

Justeru, Pemuda MCA menggesa mana-mana pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya mendahulukan semangat cintakan negara dan patriotisme dalam setiap penganjuran acara atau apa jua majlis yang hendak diadakan.

"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung" wajar dijadikan pegangan kepada kita semua bahawa semangat patriotik dan cintakan kepada Malaysia perlu sentiasa diutamakan.

Kita semua perlu bersama memainkan peranan mempromosikan nilai-nilai dan budaya Malaysia seiring dengan konsep Malaysia Madani hari ini.

Insiden di Menara Condong di Perak dan sebelum itu, di sebuah sekolah di Pulau Pinang, tidak sepatutnya berlaku dan berulang lagi.

Manakala agensi-agensi kerajaan perlu lebih peka dan sensitif dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan apa jua acara. Seharusnya setiap pengisian program diselit dengan elemen-elemen cintakan Malaysia.

Dalam masa sama, pihak berkuasa juga perlu memberi pemantauan yang lebih terhadap penganjuran acara-acara sedemikian, lebih-lebih lagi acara yang diadakan di tempat awam, sekolah dan destinasi pelancongan Malaysia.

Sedia maklum, Malaysia dan China adalah rakan strategik. Bukan setahun dua, tetapi sudah pun genap 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin. Sudah tentu kita menghargai persahabatan ini yang membawa limpahan manfaat khususnya kepada Malaysia.

𝐍𝐞𝐨𝐰 𝐂𝐡𝐨𝐨 𝐒𝐞𝐨𝐧𝐠
𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐮𝐝𝐚 𝐌𝐂𝐀
𝟐𝟓 𝐎𝐤𝐭𝐨𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟒

- PENERANGAN MCA