Kejadian sebuah pikap hilang kawalan sebelum merempuh lima kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Melaka Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada pemandunya mabuk, sekali lagi menuntut tindakan segera daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Loke dan kementeriannya hendaklah, bersama-sama Kementerian Dalam Negeri, memastikan pindaan Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) khususnya Seksyen 43, 44 dan 45 dilaksanakan dengan sempurna.

Seksyen 43 merujuk kepada kesalahan memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, Seksyen 44 merujuk kepada memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah (DUI), manakala Seksyen 45 pula merujuk kepada keadaan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah.

Pindaan Akta 333 yang dibuat semasa Menteri Pengangkutan terdahulu, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong pada 2020, bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat serta denda yang lebih tinggi ke atas pesalah, bagi membendung insiden kemalangan jalan raya, khususnya yang melibatkan DUI.

Antaranya, penjara maksimum telah ditambah dari 15 tahun ke 20 tahun, dan denda maksimum ditambah dari RM6,000 ke RM150,000. Pindaan ini juga membezakan antara hukuman untuk pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan dengan yang menyebabkan kematian.

Kerajaan haruslah dilihat benar-benar memerangi gejala pemanduan mabuk mahupun dadah dan pemanduan merbahaya. Namun kemalangan jalan raya juga perlu dikurangkan melalui pendidikan, pengetahuan dan kesedaran.

Sehubungan itu, usaha-usaha yang pernah dilaksanakan sebelum ini perlu diteruskan, terutamanya dari segi memperbanyakkan advokasi kepada orang ramai tentang peraturan jalan raya. Advokasi dan kempen kesedaran ini juga perlu dilakukan di peringkat sekolah supaya Malaysia dapat melahirkan generasi yang lebih peka serta bertanggungjawab, seterusnya menjadi pemandu berhemah di masa hadapan.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
26 September 2025