Laporan Utusan Malaysia bertajuk 'MyKiosk terbiar, dicemari najis burung' pastinya menimbulkan persoalan besar mengenai integriti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Menterinya, Nga Kor Ming.

Projek yang pada asalnya diwujudkan bagi membantu peniaga kecil kini terbiar begitu sahaja, bukan sahaja gagal dimanfaatkan, malah mencacatkan pemandangan apabila dicemari najis burung.

Bagaimana sebuah projek yang dikatakan sebagai inisiatif untuk membantu rakyat akhirnya dilihat seolah-olah menjadi projek gajah putih dan sarang burung? Sebelum ini, ketika projek MyKiosk ini dipersoalkan, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan berkata inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan, permintaan tinggi dari peniaga kecil.

Ini jelas bercanggah dengan realiti yang berlaku di Taman Perdana Senawang. Adakah hanya di kawasan ini sahaja berlaku perkara ini? Bagaimana pula dengan kawasan yang lain? Adakah pemantauan dilakukan oleh pihak berkaitan?

Apa gunanya kerajaan berbelanja sehingga RM250 juta untuk menyediakan kemudahan seperti MyKiosk ini, tapi akhirnya dibiarkan kosong dan tidak digunakan?

Apa yang lebih memburukkan keadaan, apabila ada peniaga kecil yang sepatutnya mendapat peluang berniaga melalui MyKiosk masih menunggu tanpa sebarang jawapan pasti, sehingga kini masih belum menerima kunci atau tarikh operasi.

Jika sebelum ini, Kor Ming 'melenting' apabila perbelanjaan besar MyKiosk dipersoalkan, sehingga mendakwa ada pihak yang sengaja memfitnah dirinya dan warga KPKT. Jadi adakah Kor Ming nak kata, laporan berita ini palsu dan sengaja direka-reka untuk menjatuhkkannya? Atau adakah Kor Ming akan mengarahkan pegawainya membuat laporan terhadap burung untuk dipersalahkan?

Ini bukan kali pertama kegagalan MyKiosk dilaporkan, "kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang". MyKiosk yang sepatutnya menjadi simbol usaha kerajaan untuk membantu peniaga kecil menjana pendapatan, tetapi lain pula jadinya apabila ia menjadi simbol kegagalan Menteri DAP dan kerajaan Madani.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
22 September 2025