
Keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera menggantung operasi bas yang terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang merupakan tindakan yang tergesa-gesa dan telah menyalahgunakan kuasa yang ada padanya sebelum memahami punca sebenar kejadian.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, tanggungjawab syarikat bas adalah untuk memastikan penumpang yang dibawa sampai ke destinasi dengan selamat, termasuk keselamatan kenderaan dan sebagainya. Namun, soket yang dikatakan punca kemalangan tersebut berasal daripada pengilang bas dan bukannya daripada pemanduan yang merbahaya. Seharusnya Kementerian Pengangkutan (MOT) turut menyiasat pengilang bas dan pembekal berkaitan, termasuk alat pengecas yang digunakan oleh mangsa bagi mengenalpasti punca sebenar sebelum mengenakan sesuatu tindakan.
"Selain itu, sebagai menteri, Anthony Loke juga seharusnya faham bahawa sebuah syarikat bas memiliki pelbagai jenis bas termasuk jenama, peralatan, kelengkapan dan komponen yang berbeza, mencecah ratusan jenis. Adakah logik dan adil untuk menyekat operasi kesemua bas daripada jenama berbeza milik syarikat tersebut hanya kerana salah sebuah bas terlibat dalam kemalangan?".
Tambahnya lagi, insiden yang melibatkan soket di dalam bas ini merupakan tragedi yang sangat jarang berlaku. Tidak boleh 'pukul rata' dan samakan ia dengan kemalangan trafik yang biasa. Sebaliknya, ia perlu melalui siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar, barulah kuasa menteri boleh digunakan untuk membuat perubahan dalam dasar dan undang-undang berkaitan isu ini. Itu adalah langkah yang paling wajar.
“Justeru, keputusan Menteri Pengangkutan untuk menggantung operasi syarikat bas tersebut dengan serta-merta adalah sangat autokratik dan tidak menunjukkan profesionalisme sebagai seorang menteri. Ia mungkin boleh diterima jika menteri hanya meminta bas terlibat sahaja diberhentikan operasinya bagi menunggu laporan siasatan, tetapi menteri telah menggantung lesen perniagaan syarikat bas itu sebelum beliau memahami sepenuhnya punca sebenar kemalangan. Tindakan itu sangat autokratik dan berlebihan.”
Mike Chong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Hal Ehwal MOT Pemuda MCA turut mengingatkan bahawa selepas kerajaan memansuhkan subsidi diesel secara terburu-buru, tekanan kewangan yang dihadapi oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan awam kini semakin 'tenat', terutama sekali bagi pengusaha bas yang baru sahaja pulih daripada kesan pandemik. Apabila menteri bertindak menggantung lesen perniagaan syarikat tersebut tanpa memahami situasi sebenar, yang secara tidak langsung menyebabkan pemandu bas lain yang tidak bersalah turut terjejas dek kerana pendapatan yang merosot secara mendadak.
"Disebabkan tanggapan negatif yang wujud, syarikat bas telah dihukum tanpa melalui siasatan yang adil, ini secara tidak langsung menyebabkan ramai pemandu bas kehilangan pendapatan untuk menyara keluarga mereka. Justeru kami memohon agar Menteri Pengangkutan berhenti menyalahgunakan kuasanya, sebaliknya mengambil tindakan yang sewajarnya setelah memahami punca sebenar insiden, sekaligus masalah ini dapat diselesaikan dengan baik."
Sekiranya hanya dengan menghukum sebuah syarikat bas sebagai penyelesaian dan pengakhiran kepada kes ini, tidak mustahil tragedi serupa akan terus berulang. Apabila MOT tidak menangani punca sebenar kejadian tersebut dan tidak mengambil langkah-langkah bersesuaian, maka ia tidak akan dapat memastikan keselamatan penumpang secara menyeluruh.
- Penerangan MCA