Tahniah adik Abdurrahman Ahmad Muaz, 14 tahun dan Heba Nusaybah, 11 tahun yang telah berjaya merangkul gelaran juara dan naib juara dalam kejohanan European Kids Horseback Archery Championship 2024 yang berlangsung di Perancis pada bulan Ogos lalu.
Bukan senang, mereka perlu bersaing dengan lebih 110 pesaing dari 16 buah negara. Tetapi dengan kesungguhan dan azam yang tinggi, kedua-dua adik beradik ini berjaya merangkul kemenangan, dan lebih manis, berjaya mengharumkan nama negara!
Apa yang saya baca, mereka berdepan pelbagai cabaran serta rintangan sebelum ini. Tempat latihan pun jauh dari kediaman mereka. Belum lagi dikira kos-kos lain yang diperlukan untuk menyertai kejohanan antarabangsa ini.
Memetik laporan media, anak-anak ini sanggup membantu keluarganya menjual kuih raya dan mula menabung semata-mata untuk menyertai kejohanan memanah berkuda tersebut.
Hebat! Anak-anak dan keluarga ini cukup hebat! Syabas dan tahniah! Anda adalah kebanggaan negara!
Cuma saya terfikir, bukankah sepatutnya bakat-bakat hebat seperti Abdurrahman Ahmad Muaz dan Heba Nusaybah ini sepatutnya berada dalam pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan?
Jika KBS tahu, maka lebih mudahlah sokongan dan peruntukan kewangan disalurkan kepada mereka. Jika KBS pun tak tahu, maka sesuatu perlu dilakukan segera. Mungkin dasar-dasar sedia ada yang longgar atau lemah boleh ditambahbaik.
Mungkin setiap warganegara Malaysia yang hendak menyertai kejohanan sukan di luar negara diwajibkan memaklumkannya kepada KBS supaya apa yang diperlukan dapat disalurkan, tanpa melalui karenah birokrasi rumit yang menjadi batu penghalang kepada pembangunan sukan negara.
Apa yang berlaku telahpun berlaku. Kini anak-anak ini sudah bergelar juara, sudah mengharumkan nama negara, maka diharapkan KBS teruskan membantu mereka, teruskan beri sokongan dan galakkan kerana inilah pelapis negara kita!
Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
11 September 2024
- PENERANGAN MCA