Buli siber di Malaysia semakin menjadi-jadi dan ia disokong dengan Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.
Justeru, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober depan adalah tepat pada masanya. Ia bukan sahaja bertujuan untuk menangani jenayah siber, tetapi juga menangani masalah buli siber dan melindungi kanak-kanak.
Namun, Pemuda MCA merasakan adalah penting bagi kerajaan supaya mengambil langkah sementara yang tegas terutama dari aspek penguatkuasaan bagi mengekang kejadian buli siber ini, sebelum RUU Keselamatan Dalam Talian diwartakan.
Sedia maklum, proses untuk mewartakan apa jua RUU memerlukan tempoh masa tertentu kerana ia perlu dibahas dan diputuskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan.
Sebagaimana statistik yang direkodkan bermula 1 Januari hingga 15 November tahun lalu, TikTok merupakan antara platform yang paling banyak mempunyai kandungan hantaran berkaitan buli siber, diikuti Facebook, aplikasi X, Instagram dan YouTube. Ini sangatlah membimbangkan, tambahan pula platform media sosial kini semakin popular terutama dikalangan belia, termasuk kanak-kanak yang mudah terdedah dengannya.
Selain itu, Pemuda MCA juga mencadangkan kepada kerajaan supaya meningkatkan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai buli siber yang kini dikategorikan sebagai jenayah. Kempen ini harus dimulakan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya buli siber, mendidik masyarakat tentang kesan dan langkah pencegahannya.
Program di sekolah-sekolah mestilah memberi tumpuan kepada keselamatan dalam talian, memastikan pelajar memahami risiko dan tanggungjawab yang berkaitan dengan penggunaan internet. Selain itu, ibu bapa juga harus memantau aktiviti anak masing-masing serta mendidik mereka tentang penggunaan internet yang betul.
Manakala isu berkaitan kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan. Khidmat bantuan dan kaunseling yang khusus perlu disediakan kepada mangsa buli siber bagi memastikan mereka menerima sokongan tepat pada masanya.
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
6 September 2024
- Penerangan MCA