
Insiden pergaduhan yang berlaku di Balai Polis Meru, Klang pada 2 Mac 2026 telah mencetuskan kebimbangan orang ramai berkenaan tahap keselamatan di balai polis dan juga kesiapsiagaan anggota polis dalam berhadapan jenayah.
Syabas diucapkan kepada pasukan polis daerah Klang Utara yang berjaya menangkap suspek.
Sebuah balai polis biasanya disifatkan sebagai kawasan yang selamat, terkawal dan sentiasa dijaga. Namun begitu, daripada video yang menjadi tular di media sosial, boleh dilihat betapa mudahnya 5 individu memasuki balai polis secara sewenang-wenangnya untuk memukul mangsa.
Jelas dilihat di sini bahawa kesemua pesalah tersebut langsung tidak takut terhadap polis, dan dilihat seolah-olah mengancam anggota yang bertugas di situ.
Timbul persoalan, mengapa tiada sokongan segera diberi kepada anggota yang bertugas tersebut? Adakah balai tersebut menugaskan seorang anggota polis untuk menjaga pintu masuk bagi memeriksa dan mencatat butiran individu yang datang berurusan? Bagaimana seseorang dibenarkan masuk walaupun jelas dilihat membawa besi yang panjang sebagai senjata?
Insiden ini mengingatkan saya mengenai tragedi di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, di mana dua anggota polis kehilangan nyawa mereka apabila diserang oleh seorang individu yang berjaya masuk ke bahagian belakang balai dan merampas senjata api daripada anggota yang datang menyiasat.
Susulan tragedi itu, Ketua Polis Selangor telah mengumumkan bahawa kawalan keselamatan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis akan dipertingkatkan, termasuk memeriksa butir semua individu yang datang berurusan di balai, memasang kamera litar tertutup (CCTV), serta mengkaji keperluan menambah bilangan anggota pada waktu malam.
Sekiranya ia membabitkan soal kewangan, maka pihak kementerian wajar tampil memberi penjelasan. Jangan disebabkan mahu menjimatkan wang, kerajaan seolah-olah mengabaikan keselamatan anggota polis kita.
Tambahnya lagi, kawasan Klang seakan menjadi “terkenal” kerana sering berlakunya jenayah berat. Paada akhir bulan tahun lepas, dilaporkan seorang lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di Klang Selatan. Dalam bulan yang sama, seorang lelaki pula ditemui maut dalam kenderaan selepas ditembak lima kali. Awal tahun ini pula, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah ditemui maut di Klang Utara.
Kesemua ini telah membangkitkan kebimbangan masyarakat di Selangor khususnya Klang. Ramai yang mengharapkan kepada anggota polis untuk menjaga keselamatan serta keamanan di sini, tetapi bagaimana ini boleh dilaksanakan kalau balai polis sendiri boleh diceroboh begitu sahaja, dan anggota polis boleh diancam dengan sewenang-wenangnya?
Tan Jie Sen
Ketua Pemuda MCA Selangor
5 Mac 2026