Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sekali lagi diminta supaya segera membantu secara serius dan menangani masalah yang dihadapi Malaysia Airlines (MAS) agar insiden pendaratan cemas dapat dielakkan.

Insiden terbaru membabitkan pesawat MAS, MH66 yang dalam penerbangan ke Seoul, Korea Selatan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam tadi merupakan yang kelima semenjak Jun tahun ini.

Loke harus sedar, kekerapan insiden seumpama ini bukan sahaja merosakkan reputasi MAS sebagai penerbangan nasional, tetapi juga menjejaskan keselesaan malah membahayakan keselamatan penumpang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil langkah mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) MAS daripada tiga tahun kepada satu tahun.

Seterusnya langkah-langkah konstruktif yang segera perlu diambil Loke dan kementeriannya secara aktif untuk mengatasi masalah tegar MAS, termasuk pesawat usang, kekurangan komponen mekanikal serta tenaga mahir.

Ini termasuklah membantu merundingkan perkongsian sumber dan tenaga secara usahasama mahupun melalui pinjaman dan sewaan, dengan pemain industri serta pengendali udara yang lain.

Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
2 September 2024

- Penerangan MCA