Pemuda MCA merasakan tiada keperluan bagi mana-mana pihak mendesak kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi mewujudkan kerajaan perpaduan di negeri itu buat masa sekarang.

Ketepikan kepentingan politik peribadi dengan menuntut jawatan atau kuasa. Sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu bersama-sama membela kebajikan rakyat dan membangunkan negeri serta negara secara keseluruhannya.

Sebelum ini pada bulan September 2023, Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching kata sudah tiba masanya kerajaan negeri Johor wujudkan Kerajaan Perpaduan, dengan harapan pemimpin Pakatan Harapan menjadi EXCO di negeri itu.

September tahun 2024 ini, suara dengan tuntutan sama diutarakan dan kali ini dari parti Amanah iaitu oleh Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan serta Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda.

Jika desakan dan tuntutan ini berterusan, ia pasti akan menimbulkan persoalan terutama dikalangan rakyat. Keikhlasan pemimpin parti terutama daripada parti DAP dan Amanah ketika membantu Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota baru-baru ini pastinya dipersoalkan.

Jadikan MCA sebagai contoh. Walaupun kami menyokong Kerajaan Perpaduan, tetapi kami tidak mendesak atau meminta-minta sama ada di peringkat persekutuan, negeri atau di peringkat ahli majlis sekali pun. Sebaliknya kami meneruskan kerja-kerja untuk membantu rakyat dan menyokong usaha baik kerajaan samaada di peringkat Persekutuan mahupun di negeri, demi kemajuan dan kebaikan bersama. Ini lebih utama berbanding memenuhi kepentingan peribadi atau parti.

Pada masa yang sama, MCA akan meneruskan usaha pemerkasaan dan transformasi dalaman agar dapat menawan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat, terutamanya dari kalangan masyarakat cina. Antara perubahan ketara yang dapat dilihat adalah lebih ramai golongan muda dan profesional yang diberi peluang untuk memainkan peranan aktif dalam parti. Terbukti MCA kini dilihat lebih proaktif dan inovatif, khususnya melalui ruang media sosial.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
1 Oktober 2024

- PENERANGAN MCA