
Tuntutan Parti Amanah supaya pengagihan kerusi yang kononnya lebih adil dibuat tanpa mengguna pakai formula ‘penyandang’ di dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor amat pelik, memandangkan 'abang sulung' mereka dalam Pakatan Harapan (PH), DAP, begitu taksub mempertahankan formula tersebut.
Kehadiran Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan bukan untuk menganiayai sesiapa, termasuk parti Amanah, tetapi sekadar menstabilkan politik negara dan menamatkan krisis Parlimen tergantung, kerana akur serta menjunjung titah diraja pada ketika itu.
Parti Amanah sebenarnya tidak perlu berlagak mangsa untuk mendapat lebih banyak kerusi, tetapi boleh mencapai hasratnya itu dengan meminta PH meletakkan calonnya, termasuk dari parti Amanah, untuk bertanding di semua kerusi.
Ia bukanlah perkara luar biasa kerana sudah ada duluan atau ‘precedent’ suatu ketika dahulu apabila parti-parti yang membentuk kerajaan pusat berlawan sesama sendiri di dalam PRN di Melaka dan Johor.
Apa kaedah dan formula pembahagian kerusi sekalipun, tentunya akan ada pihak yang kurang berpuas hati. Sekiranya kerjasama politik terus dijalinkan, pertikaian agihan kerusi PH-BN akan terus berlarutan bukan setakat dalam PRN Melaka dan Johor, tetapi juga dalam PRU16. Ini hanya akan merugikan BN.
Justeru, Pemuda MCA mengajak semua parti komponen supaya segera pemperkukuh BN dan sedia bertempur menghadapi sesiapa sahaja, dalam mana-mana pilihan raya, besar atau kecil, dekat atau jauh.
Ling Tian Soon
Ketua Pemuda MCA
26 Januari 2026