Insiden buli dan kekerasan terhadap rakan media semasa Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini di Johor amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku, terutamanya di negeri Johor yang sentiasa menjunjung nilai saling hormat-menghormati, kesopanan dan keharmonian.

Media memainkan peranan penting dalam mana-mana masyarakat demokratik, di mana mereka menjadi mata dan telinga rakyat dengan melaporkan fakta, menyuarakan kebimbangan awam dan memastikan kebertanggungjawaban. Menjalankan temu bual dan liputan berita adalah sebahagian tanggungjawab professional mereka, dan mereka tidak sepatutnya dilayan dengan kekerasan, intimidasi ataupun gangguan.

Menurut laporan, skuad keselamatan parti politik di Konvensyen PH telah bertindak agresif terhadap petugas media, termasuk wanita, sehingga menyebabkan konfrontasi dan insiden tolak-menolak.

Sikap ini bukan sahaja bercanggah dengan nilai kebebasan media, tetapi juga amat mengecewakan kerana PH sering kali menggambarkan diri mereka sebagai pejuang demokrasi, kebebasan media dan reformasi, malah juga pernah menjanjikan sebuah budaya politik yang progresif dan terbuka. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini ia seakan terdapat peningkatan insiden kekerasan terhadap pengamal media apabila ia membabitkan PH.

Sekiranya PH benar-benar ikhlas menjunjung prinsip kebebasan media, demokrasi dan reformasi, maka pemimpin PH sendiri harus sedar bahawa pengamal media adalah tonggak asas kepada sistem demokrasi negara, dan bukannya musuh. 

Oleh itu, insiden ini wajar dipandang serius, dan sebagai penganjur acara, PH harus memberi penjelasan dan memohon maaf kepada pengamal media yang terlibat, serta kepada seluruh industri media Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda MCA menyokong sepenuhnya Kelab Media Johor (KMJ) atas laporan polis yang dibuat dan keputusan mereka untuk mengambil tindakan undang-undang. Kerajaan negeri Johor, MCA dan Pemuda MCA akan terus berdiri bersama pengamal media dalam usaha mempertahankan hak mereka untuk menjalankan tanggungjawab dengan selamat dan tanpa gangguan.

Rakyat mahu sebuah persekitaran yang akan menjamin kebebasan media, dan juga keselamatan ahli-ahli media. Justeru itu, saya menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Ling Tian Soon
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan
21 Mei 2026