
Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak popular, namun tetap memilih untuk menyelesaikan isu rakyat mengundang persoalan terutamanya rakyat Selangor.
Jika dilihat dan diamati, masih banyak isu di negeri Selangor yang masih belum diselesaikan secara menyeluruh dan meyakinkan.
Sebagai contoh, insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku tahun lalu. Sehingga kini masih meninggalkan pelbagai persoalan kepada penduduk setempat. Rakyat khususnya penduduk di sana masih menantikan penjelasan yang jelas berhubung siasatan, langkah keselamatan serta jaminan bahawa tragedi seperti ini tidak akan berulang lagi.
Sejak jawatankuasa bebas ditubuhkan pada September tahun lalu, sehingga kini masih belum menerima sebarang laporan rasmi seperti yang dijanjikan.
Kerajaan negeri tidak boleh dilihat sekadar berdiam diri atau membiarkan perkara tersebut semakin tenggelam tanpa perkembangan yang telus kepada rakyat, tambahan isu ini amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa penduduk.
Pada masa sama, masalah banjir yang terus melanda kawasan seperti Klang, Shah Alam, Kajang, Bangi dan Puchong setiap kali hujan lebat sekali gus menunjukkan bahawa penyelesaian jangka panjang masih gagal dilaksanakan dengan berkesan.
Rakyat sudah terlalu penat menghadapi menghadapi kerosakan rumah, kenderaan dan kehilangan harta benda setiap tahun akibat masalah sama yang berulang.
Selepas 18 tahun Pakatan Harapan mentadbir Selangor, rakyat sepatutnya sedang melalui fasa menikmati sistem pengurusan negeri yang lebih cekap dan berkesan. Namun hari ini, rakyat masih berhadapan dengan isu bekalan air, banjir, kenaikan cukai pintu serta peningkatan kos sara hidup.
Rakyat Selangor tidak memerlukan retorik politik atau slogan “Reformasi” yang diulang berkali-kali. Apa yang rakyat perlukan ialah tindakan sebenar, penyelesaian konkrit dan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
Kerajaan negeri perlu menerima hakikat bahawa rakyat hari ini menilai berdasarkan hasil dan kecekapan pentadbiran, bukannya pada slogan semata-mata.
Ivone Low Yi Wen
Ketua Beliawanis MCA
18 Mei 2026