Sekali lagi penduduk Lembah Klang, khususnya penumpang pengangkutan rel, terpaksa berhadapan kesusahan, cabaran dan kepayahan awal pagi tadi apabila LRT Laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan perkhidmatan.

Di sebalik semua ini, ramai penumpang yang bertanya, mana perginya Anthony Loke?

Apabila Loke mula mengambil alih Kementerian Pengangkutan, beliau telah memberi gambaran kononnya seorang yang prihatin dan cukup cakna terhadap kesusahan penumpang pengangkutan rel awam. Gelagat Loke yang sering turun padang menaiki tren telah memberi harapan baharu kepada rakyat. Adakah ini hanya satu sandiwara politik?

Pada Februari lepas, Loke telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menjalankan siasatan dan ambil tindakan terhadap Prasarana Malaysia Berhad susulan gangguan perkhidmatan dua kali sehari di bulan yang sama. Maka, Loke digesa tampil dan mendedahkan apakah hasil siasatan APAD dan tindakan yang telah diambil?

Walaupun Loke juga telah mengumumkan bahawa sebanyak 26 set tren baharu telah diperolehi dan dijangka tiba pada 2028, tetapi kekerapan gangguan perkhidmatan pengangkutan rel membuktikan bahawa penduduk Lembah Klang tidak lagi boleh menunggu begitu lama.

Jadi, Loke juga digesa bertemu dengan Prasarana sekali lagi untuk membincangkan langkah-langkah interim yang harus diambil bagi memastikan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan kekerapan gangguan perkhidmatan.

Sekiranya masalah membabitkan set tren yang uzur, maka adakah ia memerlukan alat gantian yang sesuai pada masa yang lebih awal, serta penjadualan penyelenggaraan yang lebih kerap?

Sekiranya ia membabitkan masalah kecurian kabel sepertimana yang didakwa Loke sebagai penjelasan kepada gangguan-gangguan perkhidmatan sebelum ini, maka bolehkan tahap keselamatan ditingkatkan dengan menambah jumlah kakitangan keselamatan?

Setiap masalah ada penyelesaiannya, dan Loke sebagai Menteri Pengangkutan harus menunjukkan azam politik yang kuat untuk mencari solusi bersama-sama dengan pihak berkepentingan.

Sekiranya Loke masih gagal dilihat bertindak, ia bakal menghakis keyakinan penduduk Lembah Klang terhadap kecekapan pengangkutan awam negara, dan ini bercanggah dengan matlamat kerajaan untuk mencapai 40% penggunaan mod pengangkutan awam di bawah Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030.

Loke sendiri mengakui kadar penggunaan hanya setakat 20%. Sudah tiba masa beliau tepuk dada, tanya sendiri mengapa. 

Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan
Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan
18 Mei 2026