Menteri Pengangkutan, Anthony Loke digesa menjelaskan sebarang kemajuan mengenai pemasangan pintu keselamatan, atau kekurangan penghadang di platform stesen LRT. Pentingnya pemasangan aspek keselamatan ini berikutan kejadian terbaru melibatkan seorang penumpang yang terjatuh di atas landasan di stesen LRT Abdullah Hukum pada minggu lepas.

Sudah 6 bulan berlalu sejak Menteri mengarahkan langkah tersebut, selepas tragedi di mana seorang penumpang OKU maut apabila terjatuh di landasan stesen LRT Titiwangsa pada Februari tahun lepas. Namun, masih tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Memandangkan situasi yang sama telah berulang, maka Menteri haruslah menjawab apa status langkah keselamatan yang diambil. Adakah Menteri mahu menunggu tragedi berlaku lagi sebelum bertindak?

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Walaupun Loke menegaskan bahawa Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES) berfungsi dengan baik, namun Menteri tidak harus melepas tangan begitu sahaja. Ciri-ciri keselamatan ini hanyalah langkah terakhir. Sebaliknya, langkah pencegahan harus diutamakan untuk mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Ditekankan, ini adalah tanggungjawab asas kerajaan untuk memastikan keselamatan penumpang. Bukannya bertindak hanya selepas tragedi berlaku.

Justeru, Loke digesa membentangkan garis masa pemasangan pintu keselamatan tersebut, senarai stesen pengangkutan rel yang dikenal pasti, serta kosnya. Rakyat harus dimaklumkan mengenai status projek ini, selari dengan prinsip ketelusan yang sering diuar-uarkan Pakatan Harapan, dan bukannya diberi alasan remeh mengenai kelewatan atau penangguhan langkah keselamatan ini.

Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan
9 April 2026