
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berpendapat bahawa Ahli Parlimen Kepong, YB Lim Lip Eng seharusnya menjawab persoalan yang diajukan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada 10 Jun lalu berhubung skandal 'Kartel DAP Kepong' berbanding memberi 'serangan balas' dengan membuat laporan polis terhadap beliau.
Menurut Neow, pertanyaan yang diajukan itu bukan berunsur fitnah atau berniat untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya hanya mewakili suara rakyat yang terkesan dan menuntut penjelasan daripada Lim kerana ia melibatkan Pegawai Khasnya, Chua Choong Yin.
"Saya hanya membawa suara rakyat dan meminta penjelasan daripada beliau kerana sekiranya tidak dijelaskan dengan baik, ia akan menjejaskan nama baik Kerajaan Perpaduan. MCA merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan berhak bersuara atau mengemukakan persoalan terhadap sebarang isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara berlandaskan prinsip keadilan, keterbukaan dan ketelusan.
"Kalau ada perkara yang tidak betul dibangkitkan, maka jawab secara terbuka, bukan melaporkan kepada PDRM terhadap saya yang mengajukan soalan kepada beliau bagi pihak orang awam," katanya kepada media selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Jumaat.
Pada 10 Jun lalu, Neow mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Kartel DAP Kepong' : Skandal ketiga terbesar DAP selepas 'terowong P.Pinang' dan 'DRT Selangor'? yang mendakwa terdapat skandal melibatkan JMB Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Lim Lip Eng dan Chua Choong Yin serta seorang lagi individu bernama Seow Choo Kiong.
Neow yang juga Timbalan Ketua Penerangan MCA berkata pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan ekoran terdapat laporan dan bukti yang telah dikemukakan oleh penduduk yang terlibat dalam isu ini.
"Saya serah kepada SPRM untuk menyiasat. Saya tiada kepentingan dalam isu ini. Saya hanya mewakili, bersuara dan melindungi kepentingan rakyat. Kalau dia sebagai wakil rakyat tidak boleh menerima sebarang pertanyaan, wajar tanya kepada diri sendiri - sama ada masih layak digelar sebagai seorang wakil rakyat atau tidak?
"Jangan pula kamu nak mengiyakan terhadap persepsi rakyat bahawa kamu sekarang berkuasa, kamu salah guna kuasa (sehingga) rakyat langsung tak boleh bersuara. Bagi saya ini bukan cara demokrasi dan ini bercanggah dengan prinsip Cekap, Telus dan Amanah (CAT) yang mereka (DAP) banggakan sebelum ini," katanya.
- PENERANGAN MCA
21 JUN 2024