Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui perlu bijak menggunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat untuk membawa suara pekebun durian di Raub bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang dan bukannya dengan membuat tindakan provokasi demi kepentingan politik.

Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun berkata isu kebun durian di Raub itu bukan mengenai isu perkauman tetapi sudah menjadi kesalahan jenayah kerana telah menceroboh tanah kerajaan.

"Kenapa tidak bawa suara pekebun ke meja rundingan? Kenapa tidak cari penyelesaian dalam Mesyuarat Exco? Kenapa lebih selesa buat video di luar, hasut rakyat dan mainkan sentimen emosi sebegini? Pekebun susah memang betul, tapi bukan dengan cipta drama kita dapat jalan keluar,” katanya dalam video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya pada Jumaat lepas, 11 April 2025.

Siew Mun turut meminta Ahli Parlimen DAP tersebut menghentikan politik murahan, sebaliknya memanfaatkan saluran sedia ada yang lebih efektif.

“Kalau nak tolong pekebun, bawa suara mereka ke meja kerajaan, bukan ke media sosial. Anda wakil rakyat yang diberikan mandat oleh rakyat, bukan cybertrooper atau Red Bean Army yang kerjanya cetuskan provokasi," tegasnya.

Terbaharu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah bahawa baginda juga 'naik darah' kerana banyak pihak telah menceroboh tanah di negeri Pahang.

"Jangan bagi orang menceroboh tanah negeri Pahang ini, saya pun naik darah juga banyak orang ceroboh tanah, sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka (penceroboh).

"Jagalah negeri dan bumi Pahang ini sebaik mungkin," titah baginda di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam.

Media turut melaporkan, lima individu termasuk Yu Hui akan dipanggil bagi membantu siasatan kes dakwaan penjawat awam dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub, baru-baru ini.

PENERANGAN MCA
14 April 2025