Saya menghormati keputusan Datuk Leong Kim Soon dan mana-mana bekas ahli MCA yang menyertai Bersatu atau melompat ke mana-mana parti sekalipun. Ini adalah hak demokrasi mereka dan tidak ada apa yang perlu disensasikan. 

MCA bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah pergerakan yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang, khususnya dalam memperjuangkan keharmonian kaum, pendidikan berkualiti, dan ekonomi inklusif.

Walaupun ada yang memilih jalan lain, saya tetap yakin dengan ahli-ahli setia yang masih komited dengan perjuangan MCA. Saya percaya ini adalah peluang terbaik untuk memperkukuh jati diri, memperbaharui perjuangan, dan menarik bakat baharu untuk menyertai MCA.

MCA perlu terus mendekati akar umbi dan mendengar aspirasi rakyat, selain perlu berani membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik.

Sebagai barisan pelapis, Pemuda MCA sedang berusaha ke arah melakukan transformasi menyeluruh yang merangkumi kepimpinan muda, pendekatan digital, dan dasar progresif.

Kepada mana-mana individu yang ingin menyertai perjuangan politik bermakna, pintu MCA sentiasa terbuka. Kami mengalu-alukan pemimpin muda, profesional, dan aktivis komuniti yang ingin membawa perubahan nyata, bukan sekadar retorik.

Saya juga ingin menyeru kepada ahli-ahli MCA supaya kukuhkan kesepakatan, terus bersuara demi rakyat dan negara, demi masa depan yang lebih cerah!

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
26 Mac 2025