Pegawai penguatkuasa diminta untuk bertindak lebih adil kepada peniaga kecil-kecilan yang ingin mencari punca pendapatan supaya tidak timbul salah faham atau kekecohan seperti video yang tular kebelakangan ini ketika mereka menjalankan tugas. Rakyat pastinya faham akan peranan yang perlu dimainkan oleh penguatkuasa ini dalam memastikan segala peraturan dan dasar dipatuhi oleh masyarakat, namun sikap empati juga perlu ada dalam setiap insan.

Jika peniaga kecil ini tidak mempunyai lesen atau dokumen sah untuk menjalankan perniagaan mereka, tidak keterlaluan sekiranya pihak berkuasa memberi amaran terlebih dahulu dan membantu mereka dalam membuat permohonan lesen perniagaan. Kita tidak tahu apa yang sedang peniaga itu alami. Mungkin mereka juga sedang 'berjuang' untuk meneruskan kehidupan keluarga. Jika pihak berkuasa 'terlalu keras' terhadap mereka, dan merampas segala barang jualan serta menghalang mereka untuk berniaga, ini akan menambahkan lagi beban yang mereka alami.

Untuk itu, dicadangkan supaya satu pusat data dibina yang menfokuskan maklumat peniaga kecil tempatan. Misalnya di Kuala Lumpur mengikut zon, berapa ramai peniaga kecil yang masih belum memiliki lesen, apakah kekangan dan masalah mereka serta apa saluran untuk mereka bukan sekadar mengadu nasib tetapi juga menyelesaikan masalah mereka. Seeloknya hapuskan karenah birokrasi yang merumitkan, sebaliknya memudahkan urusan peniaga kecil ini.

Dalam masa yang sama, penguatkuasa juga perlu menunjukkan usaha dalam membanteras kegiatan perniagaan yang dijalankan oleh warga asing supaya tidak timbul 'double standard' diantara rakyat Malaysia dan mereka khususnya pendatang asing tanpa izin. Setiap kali berlaku perselisihan antara penguatkuasa dan para peniaga, rata-rata netizen akan membuat perbandingan tindakan pelaksanaan penguatkuasaan terhadap warganegara dan bukan warganegara. Warga asing dilihat terlalu 'bebas' untuk berniaga sehingga ke satu tahap boleh membuka kedai runcit sendiri.

MCA menyokong apa juga dasar yang berkaitan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) kerana ia turut memberi sumbangan yang signifikan terhadap pengurangan kadar pengangguran dan penyediaan peluang pekerjaan. Malah peranan mereka cukup penting sebagai tulang belakang kepada ekonomi negara. Manakala peniaga pula hendaklah sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengutamakan keselamatan serta kebersihan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan penjualan minuman dan makanan.

Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan
26 Mac 2025