Menyentuh kedudukan Malaysia yang telah jatuh ke tempat ke-34 dalam ranking 'World Competitiveness Yearbook 2024' oleh International Institute for Management Development (IMD), Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung, menyifatkan negara akan terus terperangkap dalam keadaan mundur sekiranya Kerajaan Perpaduan yang memerintah hampir 2 tahun sekarang, tidak dapat menggariskan hala tuju dan matlamat reformasi ekonomi yang berkesan serta stabil.

Menurut Laporan Tahunan yang dikeluarkan pada 18 Jun oleh IMD yang berpengkalan di Lausanne, Switzerland itu, dalam kajian yang melibatkan 67 negara atau kawasan, Malaysia merosot 7 anak tangga dalam ranking. Mengenai perkara ini, Yee Fung menekankan bahawa daya saing adalah salah satu kunci pembangunan ekonomi negara. Katanya, kemerosotan nilai Ringgit Malaysia, ditambah dengan daya saing negara yang terus menurun, menunjukkan bahawa reformasi ekonomi kerajaan hanyalah 'impian' dan 'omong kosong' sahaja.

"Menurut laporan itu, Malaysia menduduki tempat ke-40 global dalam tiga penunjuk iaitu 'kecekapan perniagaan', 'kecekapan kerajaan', dan 'infrastruktur asas', menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan. Ini membuktikan bahawa dalam tempoh setahun pemerintahannya, Kerajaan Perpaduan tidak berjaya menangani cabaran ekonomi secara berkesan, malah membiarkan keadaan ekonomi merosot."

Tambahnya, "Penurunan nilai Ringgit sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk merangsang eksport, tetapi daya saing negara kita telah merosot secara ketara. Ini memberikan pukulan berganda kepada ekonomi negara. Sepanjang setahun ini, kaedah ekonomi kerajaan dilihat hanyalah memperlakukan rakyat sebagai 'mesin pengeluar duit', melalui pelaksanaan pelbagai cukai baharu, peningkatan cukai, kenaikan harga dan sebagainya, menyebabkan tekanan yang terlalu besar kepada seluruh rakyat."

Sehubungan itu, Yee Fung mendesak kerajaan supaya tidak lagi mengambil ringan ekonomi negara, sebaliknya mengambil langkah serius untuk melakukan reformasi sistem, berusaha sepenuh tenaga untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan, memenuhi janji pelaburan asing, mengurangkan belanja pentadbiran, serta memperkukuh kemampuan tinggi teknologi dan produktiviti tinggi dalam kerajaan serta perniagaan, sebagai langkah penting untuk meningkatkan produktiviti dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

Beliau seterusnya mencadangkan, dari segi reformasi cukai, kerajaan harus melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang lebih efisien dan lebih telus untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

"Pada masa yang sama, pelaburan perlu dilakukan dalam sumber manusia untuk menyediakan lebih banyak bakat teknologi tinggi yang diperlukan dalam industri moden, bukannya terus bergantung sepenuhnya kepada tenaga buruh. Sebenarnya, berbanding dengan negara-negara serantau lain seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dan Kemboja, Malaysia sudah kehilangan kelebihan kompetitif dalam kos buruh rendah."

Tegasnya lagi, “Dalam jangka panjang, kerajaan perlu mengambil langkah untuk mentransformasi struktur ekonomi, menyediakan lebih banyak insentif dan bantuan dasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berubah serta meningkatkan kemampuan ekonomi. Ketika ini, kira-kira 97% daripada PKS di Malaysia hanya menyumbang kurang daripada 40% produktiviti negara."

- Penerangan MCA