
Pemuda MCA akan mengambil tanggungjawab dan memberi fokus terhadap publisiti sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kali ini selari dengan matlamatnya untuk memastikan semua pengundi kaum Cina keluar mengundi dan menjadikan calon Barisan Nasional (BN) sebagai pilihan utama mereka.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata Pemuda MCA akan memberi fokus terhadap publisiti melalui ruang media sosial bagi mewujudkan kepekaan para pengundi di Ayer Kuning ini untuk balik mengundi dan melaksanakan tanggungjawab demi pembangunan dan masa depan penduduk Ayer Kuning.
"Kebanyakan pengundi muda berketurunan Tionghua ini tidak tinggal di sini, mereka berhijrah dan mencari kerja di tempat lain. Untuk pulang semata-mata membuang undi (PRK), secara motivasinya akan berkurangan berbanding Pilihan Raya Umum (PRU). PRU ini lain kerana mereka perlu (mengundi) untuk membentuk kerajaan. Dalam masa yang sama, kaum Cina juga baru sahaja selesai melawat dan menziarahi kubur nenek moyang (Qing Ming). Kita menjangkakan akan berkurangan (peratus mengundi).
"Tetapi tanggungjawab MCA untuk memastikan kaum Cina di daerah Ayer Kuning dan yang bekerja di daerah berdekatan seperti Ipoh, Kampar, Tanjung Malim atau Selangor sekalipun, untuk pulang mengundi. Itu tanggungjawab MCA untuk memberi fokus terhadap publisiti," katanya dalam wawancara Skop MG (Malaysia Gazette) : Pengundi Cina Antara Sentimen Dan Calon pada Isnin malam.
Sebelum ini, Neow yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Pemuda MCA akan memberi tumpuan dalam memastikan seramai mungkin pengundi berdaftar khususnya masyarakat Cina keluar mengundi calon BN.
Sementara itu, Neow turut mengariskan tiga 'kehendak' kaum Cina dalam memilih wakil rakyat di sesebuah kawasan iaitu ekonomi, pendidikan dan keselamatan atau kelangsungan hidup.
"Kehendak orang Cina tak banyak. Tiga perkara sahaja iaitu ekonomi, pendidikan dan keselamatan atau kelangsungan hidup. Ekonomi merupakan agenda yang penting dimana mereka harus memilih sebuah parti yang boleh membawa agenda pembangunan ekonomi yang baik diperingkat negeri mahupun persekutuan.
"Mereka juga mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan yang lebih baik. Bagi kelangsungan, kesejahteraan dan keselamatan pula pastinya mereka mahukan pemimpin yang memperjuangkan prinsip kesederhanaan yang boleh mewakili semua kaum, walaupun wakil rakyat itu berbangsa Melayu, tetapi boleh menjaga semua lapisan masyarakat secara adil.
Tambahnya lagi, semua elemen-elemen tersebut ada pada BN yang sejak dahulu lagi iaitu tidak memberi kepentingan khusus kepada satu kaum sahaja walaupun parti itu berasaskan satu kaum.
"Kita (BN) tidak mewakili kepentingan satu kaum sahaja. MCA memang parti berasaskan orang Cina, menjaga kepentingan orang Cina. Tetapi kita tidak perlu sampai menidakkan atau rampas hak orang lain atau mencabar hak orang lain. Itulah semangat BN yang perlu kita pertahankan. Pada saya, ini juga perlu dizahirkan juga kepada generasi-generasi akan datang supaya keharmonian kesejahteraan rakyat dapat dijaga dan dipelihara dengan baik," katanya.
Video penuh boleh ditonton di sini;
Facebook: KLIK SINI
Youtube: KLIK SINI
PENERANGAN MCA
15 April 2025