
Aduan penduduk mengenai keadaan muara Sungai Beruas yang semakin cetek akibat pemendapan kelodak kini menemui jalan penyelesaian apabila peruntukan sebanyak RM1 juta telah diluluskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kerja-kerja penyelenggaraan sungai.
Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Neow Choo Seong berkata, beliau turun padang ke Pantai Remis untuk mengadakan sesi libat urus bersama penduduk tempatan susulan masalah tersebut yang menjejaskan pergerakan bot serta meningkatkan risiko banjir.
“Syukur, permohonan peruntukan sebanyak RM1 juta telah diluluskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof atas keprihatinan dan sokongan ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Dalam sesi libat urus yang dihadiri oleh penduduk, nelayan serta pihak berkepentingan itu berkongsi pandangan dan cadangan bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi.
"Suara anda semua amat penting supaya penyelesaian yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya nelayan kecil yang bergantung kepada muara ini untuk mencari rezeki," katanya.
Dalam perkembangan sama, Choo Seong yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda MCA itu turut mencadangkan agar pihak JPS menjalankan kajian lanjut bagi menilai cadangan pembinaan benteng perlindungan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah pemendapan kelodak dan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Penerangan MCA
14 April 2026