
Pemuda MCA yakin bahawa sumbangan dan peranan yang dimainkan parti kami sepanjang masa ini dapat mengembalikan sokongan rakyat khususnya komuniti Cina kepada MCA dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16.
Dapatan dan maklum balas di lapangan menunjukkan kebanyakan masyarakat Cina kecewa dengan DAP kerana dilihat gagal membela nasib mereka. Malah, DAP juga dilihat diam membisu terhadap beberapa isu penting.
Sebaliknya, MCA yang lantang bersuara dengan bersandarkan kepada fakta dan realiti, walaupun MCA disindir dan diperlekehkan kerana hanya memiliki dua (2) kerusi Parlimen, namun dengan kudrat yang ada MCA berjaya membela nasib rakyat. Bayangkan jika lebih ramai pemimpin MCA menjadi wakil rakyat mewakili BN, maka sudah tentu lebih banyak permasalahan dapat diselesaikan dan negara akan bertambah maju.
Dalam masa sama, MCA juga giat melibatkan diri dengan pelbagai golongan rakyat, seperti komuniti perniagaan, wakil-wakil penduduk, pemain industri dan sebagainya, agar suara dan keluhan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan dapat didengar dan diambil kira.
Dalam semua sesi-sesi penglibatan ini, dapat dilihat bahawa sikap rakyat, khususnya komuniti Cina semakin terbuka berdialog dengan MCA, dan berkongsi pandangan serta keluhan mereka. Masyarakat Cina juga menyifatkan DAP kini dilihat semakin menjauhkan diri mereka daripada memahami denyut nadi rakyat, bahkan jauh terpesong dan tersasar daripada perjuangan asal DAP yang kononnya berintegriti serta membela nasib rakyat. Slogan-slogan pro rakyat DAP yang dulunya dilaungkan kini tidak lagi kedengaran, malah janji-janji manis yang ditabur DAP sebelum berkuasa juga gagal ditunaikan.
Dalam isu-isu seperti kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan, skandal MyKiosk dan terowong dasar laut Pulau Pinang, peluasan skop SST, kenaikan tarif elektrik, penghapusan subsidi telur ayam, kemelut pelantikan badan kehakiman, dan isu penggunaan tong gas bersubsidi oleh peniaga kecil, pemimpin-pemimpin DAP dilihat hanya berpeluk tubuh dan diam membisu. Mulut mereka seolah-olah di zip, mata ditutup rapat dan telinga disumbat, sama ada dengan tangan mereka sendiri, atau oleh lembaga yang hanya mereka sahaja tahu.
Timbul persoalan dikalangan rakyat, adakah 40 Ahli Parlimen DAP lemah dan tewas dengan jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri serta kuasa-kuasa yang kini dipegang sehingga tidak mampu lagi memperjuangkan hak serta nasib rakyat? Atau mereka sememangnya tidak tahu untuk menguruskan negara dengan baik?
Sentimen kekecewaan ini juga dapat dilihat menerusi hantaran-hantaran dan komen-komen di media sosial apabila ramai bukan Melayu menyatakan kekecewaan mereka terhadap pemimpin-pemimpin DAP.
Contohnya, apabila Presiden MCA Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong membangkitkan isu jual beli saham MAHB yang menyebabkan kerugian kepada KWSP, beliau dikritik hebat oleh seorang ahli Parlimen DAP dari Kampar. Namun komen-komen di media sosial, malah di laman Facebook pemimpin DAP tersebut menyatakan sokongan kepada usaha Presiden MCA, dan mengecam DAP kerana cuba memutar belit isu ini. Orang ramai baru dapat menilai sendiri sikap wakil rakyat DAP yang kebudak-budakan dan hanya emosional dalam berbicara, serta membuktikan betapa tebal dendam politik pemimpin DAP terhadap MCA.
Sokongan Speaker Dewan Rakyat kepada Presiden MCA apabila DAP cuba merujuk Ka Siong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen juga membuktikan bahawa isu ini ada asasnya serta berpihak kepada Ka Siong.
Selain itu, penarikan balik larangan penggunaan tong gas bersubsidi terhadap peniaga kecil, pembatalan caj SST ke atas perubatan tradisional dan komplementari juga mengukuhkan peranan serta kejayaan MCA sebagai parti yang benar-benar mengangkat suara rakyat.
Justeru, Pemuda MCA akan terus turun ke lapangan dan mendengar denyut nadi rakyat bukan sahaja dikalangan masyarakat Cina, tetapi juga seluruh masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang. Kami akan sentiasa ada bersama rakyat dulu, kini dan selamanya.
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda BN
10 Julai 2025