Selepas mengeluarkan kenyataan bahawa 'MCA sesat', kini Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok menuduh MCA hanya berjuang untuk orang Cina, manakala DAP pula pelbagai kaum.

Betul, MCA memang parti berasaskan kaum Cina, sama seperti UMNO dan MIC yang berasaskan kaum Melayu dan India, tetapi tiga parti ini berada di bawah payung yang sama, semangat Barisan Nasional (BN). Sejak ditubuhkan hingga kini, BN kekal sebagai gabungan yang memperjuangkan rakyat majmuk di Malaysia.

Macam mana Teresa boleh kata MCA hanya berjuang untuk orang Cina? Adakah Ahli Parlimen Ayer Hitam, Ahli Parlimen Tanjung Piai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) MCA hanya bantu orang Cina sahaja? Teresa tak pernah baca laporan media bahawa mereka ini bersungguh serta konsisten membantu masyarakat majmuk di kawasan mereka seperti pembinaan masjid dan surau, membantu masyarakat India, Orang Asli dan lain-lain?

Teresa jangan mendabik dada, kononnya di pejabat DAP ada pekerja Melayu dan India, seolah-olah di Ibu Pejabat MCA ini semuanya dimonopoli oleh kaum Cina. Jemput datang ke Wisma MCA, boleh berkenalan dengan kakitangan kami yang terdiri dari pelbagai bangsa. Begitu juga dengan pejabat-pejabat MCA di seluruh negara.

Teresa kata DAP parti berbilang kaum? Jika begitu, boleh perincikan ahli-ahli CEC DAP mengikut pecahan kaum, tanpa memasukkan ahli-ahli CEC berstatus lantikan?

Teresa jangan sombong bila dah berkuasa. Perkara yang perlu diambil kira sekarang ini adalah peratusan pengundi Cina yang tidak keluar mengundi Pakatan Harapan (PH) di PRK Sungai Bakap baru-baru ini. Itu lebih penting.

Bukan itu sahaja, melalui temu bual Bersama Utusan Malaysia,Teresa turut mengatakan bahawa MCA tidak lagi relevan dan sering marah kepada DAP setiap kali konvensyen diadakan.

Walaupun anda kata MCA tidak relevan, sekurang-kurangnya kami ada maruah, bangkit untuk mempertahankan rakyat, parti dan ahli akar umbi. Contohnya, MCA antara yang terawal bantah cukai dikenakan perubatan alternatif TCM sehingga kerajaan buat pusingan U, sistem PADU yang dipertikai keselamatan datanya, serta pengenalan semula cukai GST sehingga diakui sistem yang baik oleh laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan (Tinjauan Fiskal 2024) yang diterbitkan Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan Madani. Di saat MCA berkerja keras membela rakyat, di mana suara DAP? Selepas berkuasa, DAP dilihat membisu dan memekakkan telinga terhadap permasalahan rakyat.

Teresa, anda kata MCA tidak relevan, tetapi kenapa mulut anda masih menyebut MCA? Kenapa fikiran anda masih tertumpu kepada MCA?

Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
11 Julai 2024

- Penerangan MCA