
Tular di media sosial baru-baru ini sebuah laman web yang menyediakan akses kepada semua data rakyat rakyat Malaysia pada harga USD50.00 sahaja. Menerusi laman web ini, sesiapa sahaja boleh mencari maklumat menerusi nombor MyKad, alamat, data kenderaan, nombor telefon dan sebagainya.
Lebih mengejutkan, laman web ini bukannya isu baharu, tetapi telahpun dilaporkan oleh netizen seawal tahun 2022. Apa pula yang dilakukan pihak berkuasa berkenaan dalam tempoh tiga tahun ini?
Isu ini wajar dipandang serius oleh kerajaan kerana ia didakwa membabitkan data-data sensitif, seperti maklumat sulit bank, kad kredit malah juga nombor CVV. Apatah lagi apabila data-data tersebut didakwa dikumpul dari agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta syarikat-syarikat telekomunikasi, bil air, bil elektrik dan sebagainya.
Ini bukan kali pertama di mana maklumat peribadi rakyat di dalam laman web agensi kerajaan dilaporkan bocor, dan setiap kali berita ini dilaporkan, menteri-menteri tampil memberi jaminan kononnya data rakyat masih dilindungi walaupun jelas dilihat bahawa aspek sekuriti siber oleh agensi-agensi kerajaan masih lemah. Kehilangan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan melindungi data peribadi mereka boleh dilihat apabila majoriti rakyat enggan mengisi maklumat peribadi mereka ke dalam sistem PADU.
Apa yang lagi mengecewakan, kerajaan dilihat seolah-olah “membantu” pencuri data ini apabila didedahkan sebuah portal media negara asing bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi diminta menyerahkan data pengguna kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Apabila kontroversi ini dibangkitkan oleh Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun, beliau pula yang dipanggil memberi keterangan, malah SKMM sendiri membuat laporan terhadap Siew Mun. Lebih mengejutkan, SKMM menerusi peguamnya menghantar tuntutan supaya Siew Mun memohon maaf dan menarik balik dakwaan beliau. Sedangkan selain Siew Mun, ramai lagi pemimpin dan orang ramai menyuarakan kebimbangan sama. Malah, agensi media tersebut yang mendedahkan isu ini tidak pula dipanggil oleh SKMM jika benar ia berita palsu.
Timbul persoalan, mengapa kerajaan Madani dilihat sangat cekap bertindak terhadap pengkritiknya, tetapi perlahan terhadap pihak yang menjual data rakyat?
Justeru itu, kerajaan Madani disaran mengembalikan fokus mereka kepada pihak yang benar-benar bersalah, iaitu pengkhianat yang sanggup menjual data rakyat, bukannya kepada pemberi maklumat atau “whistleblower” yang hanya mahu memastikan keselamatan data rakyat terpelihara.
Chai Jie Yang
Pengerusi Pendidikan dan Pusat Pengajian Politik Pemuda MCA
9 September 2025