
Pemuda MCA Petaling Jaya menyokong penuh perarakan “Walk for Judicial Independence” anjuran Majlis Peguam Malaysia yang dijadualkan pada 14 Julai ini, dan menyahut seruan beberapa Ahli Parlimen termasuk YB Rafizi Ramli agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan berhubung pelantikan hakim.
Kami percaya, kebebasan badan kehakiman mesti kekal tanpa sebarang keraguan. Perkembangan terkini berhubung keputusan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, serta kebimbangan terhadap perjalanan mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), telah menimbulkan persoalan serius dalam kalangan pengamal undang-undang mahupun masyarakat umum.
Rakyat pelbagai lapisan berhak mendapat kepastian serta jaminan bahawa proses pelantikan kehakiman adalah bebas, telus, dan selaras dengan prinsip Perlembagaan.
Kami memuji langkah Majlis Peguam yang proaktif dalam membangkitkan isu ini melalui platform yang aman dan berprinsip. Perarakan yang bakal berlangsung bukanlah satu bentuk protes terhadap mana-mana institusi, tetapi satu usaha bersama untuk mempertahankan integriti institusi kehakiman serta memastikan mekanisme semak dan imbang terus terpelihara.
Pemuda MCA kekal konsisten mempertahankan kesucian kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang tanpa mengira siapa yang memerintah. Badan kehakiman mestilah dilindungi daripada sebarang bentuk campur tangan mana-mana pihak. Oleh itu, seruan untuk menubuhkan RCI ke atas JAC adalah wajar dan sangat diperlukan pada waktu ini.
Sekiranya dakwaan berkenaan pencabulan prosedur adalah benar, maka perkara ini mesti ditangani melalui satu mekanisme yang bebas dan mempunyai kredibiliti. RCI bukan sahaja akan menjalankan siasatan, malah mencadangkan reformasi yang telah lama dinantikan bagi memperkukuh proses pelantikan kehakiman.
Perlu ditekankan bahawa isu ini bukanlah bersifat politik, tetapi dibangkitkan bagi mempertahankan institusi kehakiman, iaitu salah satu tiang utama dalam sistem demokrasi. Pemuda MCA bersedia bekerjasama merentasi sempadan politik dalam usaha untuk memelihara kepercayaan awam terhadap sistem perundangan negara.
Pemuda MCA juga mahukan satu komitmen nasional yang diperbaharui untuk menjunjung prinsip Perlembagaan, pemisahan kuasa, dan kebebasan kehakiman, serta mendesak supaya Kerajaan Madani menangani isu ini dengan serius dengan bertindak segera bagi memelihara keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan perundangan negara.
Andy Teoh Tuck Wah
Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA
Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya
9 Julai 2025