Pemuda MCA bersiap siaga untuk membantu memenangkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Fokus utama Pemuda MCA adalah untuk memastikan seramai yang mungkin pengundi berdaftar khususnya yang berketurunan Tionghua (21% daripada jumlah pengundi berdaftar) untuk keluar dan mengundi calon BN pada 26 April nanti.

Parlimen Tapah adalah kubu kuat BN. Pendekatan yang akan digunakan oleh Pemuda MCA semasa tempoh berkempen kelak semestinya untuk menyakinkan para pengundi agar memilih calon yang dapat mewakili dan berkhidmat untuk rakyat di Ayer Kuning secara inklusif.

Pemuda MCA yakin calon BN yang telah dipilih oleh kepimpinan tertinggi parti ini mampu meraih kemenangan, namun ia perlu disusuli dengan usaha keras daripada jentera di semua peringkat.

Pemuda MCA juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi 'peperangan' media sosial, termasuk menangkis segala serangan daripada pihak lawan sepanjang tempoh berkempen yang akan datang.

Namun, jentera BN sentiasa diingatkan jangan terlalu leka dan 'over confident' sehingga lupa akan perkara pokok. Kita perlu memastikan semua pengundi keluar mengundi dan menjadikan calon BN sebagai pilihan utama mereka.

Buat masa ini, Pemuda MCA bersama Pemuda BN yang dipimpin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh giat merangka serta menjalankan pelbagai aktiviti khususnya mendekati golongan muda di Ayer Kuning. Kita mahu suara anak muda sentiasa didengari oleh pucuk pimpinan sama ada di peringkat tempatan, negeri mahupun nasional.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
Pengarah Komunikasi Pemuda BN
9 April 2025