Tragedi pokok tumbang di Kuala Lumpur semalam yang meragut satu nyawa dan mencederakan beberapa orang lain, serta memusnahkan 17 buah kenderaan dan menjejaskan perkhidmatan awam rel Monorel telah menyerlahkan betapa bahayanya kewujudan pokok-pokok besar di sekitar bandar seperti ibu negara.

Justeru itu, Pemuda MCA berharap langkah pencegahan segera diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Tambahan pula di Kuala Lumpur ini terdapat banyak pokok bersaiz besar yang berisiko membahayakan nyawa orang ramai.

Tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi sewajarnya kita mempunyai data tepat berkenaan pokok-pokok ini, berapa jumlah pokok berusia dan apakah status setiap pokok tersebut sama ada ia masih selamat atau sudah tiba masa ditebang demi keselamatan orang ramai.

Di sini, Pemuda MCA ingin mengesyorkan kepada kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dr. Zaliha Binti Mustafa beberapa perkara untuk pertimbangan;

1. Memantau tahap kesuburan semua pokok di sekitar bandaraya setiap minggu, khususnya semasa musim kemarau atau musim monsoon, untuk memastikan keteguhan dan kesihatan pokok-pokok tersebut.

2. Sekiranya ada pokok berisiko memberi mudarat, langkah-langkah boleh diambil segera seperti meletakkan struktur penahan, ataupun sebagai pilihan terakhir, menebang pokok tersebut. Ini adalah untuk memastikan keseimbangan di antara keselamatan penduduk dengan kesejahteraaan alam sekitar di kawasan bandar.

3. Mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor atau syarikat yang gagal atau cuai menunaikan tanggungjawab mereka dalam menjaga pokok-pokok ini.

Pemuda MCA mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Agensi Pertahanan Awam (APM), paramedik dan orang awam atas tindakan pantas membantu mangsa yang tercedera dan membuka jalan semula kepada aliran trafik.

Pemuda MCA berharap langkah pencegahan segera diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Tambahan pula di Kuala Lumpur ini terdapat banyak pokok bersaiz besar yang berisiko membahayakan nyawa orang ramai.

Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan
8 Mei 2024

- Penerangan MCA