Tindakan admin (pentadbir) restoran makanan segera tempatan, Darsa Fried Chicken (DFC) yang membuat kenyataan berbaur perkauman di platform media sosial amat memalukan.

Admin tersebut telah membalas mesej netizen dengan menyebut 'type C' yang dipercayai ditujukan kepada kaum Cina di negara ini.

"Kena tengok keseluruhan (harga), baru tahu mahal ke berpatutan. Type C tengah cuba main bermacam sentimen buruk terhadap DarSa Fried Chicken. Kita jangan mudah terpedaya selagi tak datang cuba sendiri," balas admin tersebut ketika netizen mempersoalkan harga yang ditawarkan agak mahal.

Kenyataan seperti ini merupakan satu bentuk penghinaan dan fitnah yang bertujuan untuk menimbulkan kebencian orang ramai terhadap kaum Cina di negara ini. Ini sama sekali tidak boleh diterima.

"Netizen hanya bertanya tentang harga di restoran ayam goreng tersebut, tetapi adminnya telah membalas dengan menyentuh isu perkauman. Ini tidak profesional dan tidak bertanggungjawab, jelas ia tingkah laku yang sangat buruk."

Yang Pang berkata walaupun kedai DFC telah meminta maaf dan menyifatkan ia sebagai kesilapan yang tidak disengajakan, namun ia jelas telah melukakan perasaan orang Cina di negara ini dan sekali gus mampu menjejaskan keharmonian. Pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dan mengenakan tindakan terhadap individu terlibat, dan apa tujuan sebenarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Saya menyeru semua lapisan masyarakat agar menjunjung semangat keharmonian, toleransi dan rasional dalam segala hal. Bukannya memperjuangkan sebarang isu tanpa memikirkan kesan terhadap keharmonian dan perpaduan negara ini tambahan lagi, isu yang tidak berfaedah ini tidak membantu dalam kemajuan dan pembangunan negara.

TAN YANG PANG
NAIB KETUA PEMUDA MCA KEBANGSAAN
7 MEI 2024

- PENERANGAN MCA