
Dakwaan bahawa kerajaan memplagiat Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025 perlu dipandang serius memandangkan ia melibatkan acara bertaraf dunia sekaligus menyebabkan imej negara tercalar.
Kerajaan digesa untuk menyiasat tuduhan ini dengan kadar segera dan telus bagi menjaga nama baik negara.
Baru-baru ini, sebuah firma perunding kreatif mendedahkan melalui media sosial bahawa mereka telah membangunkan konsep, tema dan hala tuju seni bina Pavilion Malaysia untuk Ekspo Dunia Osaka 2025 di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada tahun 2022. Beberapa siri taklimat dan cadangan telah selesai dilakukan dan menerima jaminan lisan mengenai pelantikan rasmi. Walaubagaimanapun, pada Januari 2023, syarikat tersebut menerima notis bahawa projek itu akan dijalankan melalui tender terbuka. Pada taklimat tender terbuka berikutnya itu, kandungan pembentangan MITI dilihat sama dengan konsep yang pernah dikemukakan oleh syarikat perunding kreatif itu.
Sekiranya dakwaan ini benar, ia bukan sahaja penghinaan kepada bidang kreatif oleh jabatan kerajaan malah turut merosakkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Ini isu serius kerana ia bukan hanya melibatkan satu atau dua orang pegawai, malah akan mengambil masa yang lama untuk mengadakan mesyuarat, perbincangan, semakan dan siasatan sebelum mendapat tahu punca berlakunya tindakan memplagiat ini. Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan laporan penemuan kepada umum".
Jawatankuasa khas tersebut haruslah dianggotai oleh individu berkecuali agar siasatan telus dapat dijalankan, selain mengelakkan wujud "tangan ghaib" yang boleh mempengaruhi hasil siasatan.
“Dalam masa yang sama, kerajaan perlu menerangkan dengan jelas proses dan butiran tender terbuka, syarat untuk memilih pembida dan lain-lain hal berkaitan, selain bersikap jujur sama ada terdapat sebarang penipuan atau rahsia tersembunyi di dalamnya?”
Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dengan dakwaan ini kerana plagiat merupakan perkara serius, tambahan ia melibatkan MITI, kementerian yang menggalakkan pembangunan industri kreatif domestik.
Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
26 April 2025