Saya berasa kesal berhubung video tular melibatkan seorang pemuda yang dikatakan dilempang lelaki berpangkat 'pakcik' hanya kerana pemuda tersebut menikmati makanan di siang hari, sedangkan pemuda tersebut mengakui bahawa beliau bukan beragama Islam. 

Begitu juga dengan video tular memaparkan seorang lelaki dipercayai mabuk yang tiba-tiba memukul kepala seorang penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Kota Syah Bandar, Melaka awal pagi kelmarin, dan kejadian seorang lelaki dewasa menumbuk muka seorang pelajar lengkap berpakaian sekolah.

Sejak kebelakangan ini berlaku beberapa kejadian yang bagi saya tidak sepatutnya berlaku. Ini juga menjadi ujian kepada kita semua supaya tidak terperangkap dan menjadikan ia sebagai isu agama dan perkauman. Saya yakin, sebagai masyarakat yang cintakan perpaduan dan keharmonian, kita tidak sesekali menggunakan kekerasan dalam setiap tindakan kita.

Justeru saya berharap semua pihak agar mengawal emosi dan sentiasa bersabar dalam menjalani rutin seharian di sebuah negara majmuk seperti Malaysia yang kita cintai ini.

Berilah ruang dan kepercayaan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan tugas mereka. Mana yang didapati bersalah hendaklah dihukum dengan hukuman setimpal mengikut undang-undang negara kita.

Selain itu, semua pihak berperanan membentuk semula semangat kepelbagaian melalui pendidikan dan budaya masyarakat. Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menggalakkan lebih banyak pertukaran dan hubungan merentas etnik, supaya masyarakat dapat menyedari betapa berharganya rasa hormat dan toleransi dalam masyarakat yang pelbagai.

Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
18 Mac 2025