Dakwaan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr. Fuziah Salleh bahawa inisiatif MADANI Mart diterajui oleh Yayasan MADANI dan tidak menerima dana daripada kerajaan menbangkitkan dua persoalan penting, iaitu siapa yang mengawal sistem ini, dan kemungkinan wujudnya unsur konflik kepentingan.

Ini kerana Yayasan MADANI dipengerusikan oleh Timbalan Menteri KPDN sendiri, manakala pengasas dan pengarahnya merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.

Timbul persoalan, adakah Yayasan MADANI boleh disifatkan sebagai badan besas apabila jawatan pentingnya dipegang oleh ahli politik kerajaan? Bukankah ini membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan juga kekurangan ketelusan dalam proses membuat keputusan?

Ditekankan, ini bukan sebuah inisiatif masyarakat sivik yang biasa. Sebaliknya, ia adalah sebuah platform yang berkait rapat dengan kepimpinan kerajaan, yang melaksanakan program kos sara hidup di seluruh negara. Lebih membingungkan, bagaimana pula sebuah Yayasan yang ditubuhkan tiga tahun lepas dilaporkan mampu membuka beberapa ratus pasar raya kecil di seluruh negara dalam tempoh masa yang singkat

Adakah pembangunan pesat ini disebabkan pembiayaan kerajaan? Sehingga hari ini, masih tiada penjelasan mengenai jenis sumber yang diguna pakai dan siapa yang menyokong usaha ini di sebalik tabir.

Malah, laman web Yayasan MADANI juga tidak menjelaskan modal operasinya, sumber kewangan mahupun bagaimana dananya digunakan. Mana-mana projek yang memberi kesan kepada rangkaian bekalan keperluan negara haruslah telus.

Jika benar Yayasan MADANI tidak menerima sokongan atau subsidi daripada kerajaan, perniagaan manakah yang sanggup menyertai sistem ini yang mengenakan yuran francais sambil menyekat saluran bekalan? Ini tidak logik dari segi komersial. Inilah yang menjadi tanda tanya orang ramai mengenai kewujudan unsur-unsur tersembunyi.

Soalan utama adalah sama ada sumber awam dan ruang pasaran sedang diuruskan dan dikawal oleh pihak berkepentingan dalam politik? Apabila perangkaan dasar, pengurusan sumber dan pelantikan jawatan tertumpu di satu-satu tempat, maka ketelusan menjadi satu kewajipan.

Justeru itu, Pemuda MCA menggesa kerajaan tampil memberi penjelasan mengenai sumber kewangan, proses pelantikan jawatan serta mekanisme operasi Yayasan MADANI demi tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Buktikanlah menerusi ketelusan bahawa ia bebas dari sebarang konflik kepentingan. 

Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
6 April 2026