
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim digesa supaya memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan kerajaan terdahulu, khususnya Barisan Nasional (BN), atas pendirian tidak konsisten beliau berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Adam mungkin sudah lupa, apabila bergelar aktivis pelajar sekitar tahun 2010 dulu, bagaimana beliau berjuang untuk menghapuskan PTPTN, termasuk tidur dalam khemah di Dataran Merdeka serta berarak di jalanan sehingga ada diantara pesertanya mengangkat batu nisan bersama potret Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dikalungkan bunga.
Tindakan YB Adam yang kini menyokong cadangan mengenakan sekatan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang culas jelas bercanggah dengan pendirian beliau ketika bergelar aktivis pelajar dan pemimpin pembangkang suatu ketika dahulu. Ketika itu, beliau bukan sahaja lantang menentang langkah berkenaan, malah menuduh kerajaan BN bersikap zalim dan tidak prihatin terhadap nasib anak muda.
Hakikatnya, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan terdahulu dalam menangani isu peminjam PTPTN yang culas adalah bersifat bertanggungjawab, berlandaskan kepentingan awam dan kelangsungan dana pendidikan negara. Sekatan perjalanan, antara lain, diperkenalkan sebagai mekanisme terakhir untuk memastikan peminjam yang berkemampuan menunaikan tanggungjawab mereka, demi memberi peluang kepada generasi seterusnya menikmati manfaat yang sama.
Apa yang lebih dikesalkan, dasar yang dahulu dipolitikkan dan digambarkan sebagai penindasan kini diakui sebagai perlu setelah Pakatan Harapan berada dalam tampuk pemerintahan. Ini membuktikan bahawa kritikan sebelum ini bukanlah berdasarkan realiti pentadbiran, sebaliknya bermotifkan politik semata-mata.
Sehubungan itu, kami mendesak YB Adam Adli untuk:
- Memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan terdahulu dan rakyat kerana memfitnah serta mempolitikkan dasar PTPTN yang terbukti relevan dan perlu; atau
- Mengemukakan cadangan yang lebih berkesan dan praktikal sekiranya beliau mempunyai idea yang lebih bernas dalam menangani masalah peminjam PTPTN yang culas.
Rakyat, khususnya golongan muda, berhak menilai siapa yang benar-benar bertanggungjawab dalam menjaga masa depan pendidikan negara, dan siapa yang sekadar menabur janji serta retorik politik.
Mike Chong
Timbalan Ketua Pemuda MCA
10 Februari 2026