
Pengumuman Menteri Pendidikan bahawa hanya kanak-kanak berumur 6 tahun yang lulus Ujian Diagnostik Khas boleh masuk Tahun 1 adalah bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, dan membangkitkan persoalan sama ada Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 benar-benar dibincang secara rapi atau tidak.
Rakyat bertanya, siapa sebenarnya yang membuat keputusan mengenai isu ini? Selain itu, bukankah ujian diagnostik ini seolah-olah memaksa budaya bertanding ke atas kanak-kanak?
Bagaimana pula Menteri Pendidikan mahu mentakrifkan piawaian psikologi, emosi, keupayaan belajar dan kematangan kanak-kanak ini?
Cara pentakrifan ini amat kabur, dan juga tidak adil bagi kanak-kanak untuk diuji atas beberapa indikator yang tidak jelas, sekaligus dikhuatiri akan mewujudkan hierarki kelayakan di antara kanak-kanak sebaik sahaja mereka dilahirkan.
Ia juga bakal mewujudkan jurang di antara keluarga yang berkemampuan yang memiliki sumber untuk membantu anak mereka, berbanding dengan keluarga yang kurang mampu. Ini melanggar prinsip keadilan dan kesamarataan dalam pendidikan.
Isu logistik juga harus dipertimbangkan khususnya berkenaan jumlah kelas dan bilangan guru yang diperlukan. Ini kerana ujian tersebut tidak menyatakan dengan jelas jumlah pelajar yang dapat memenuhi kelayakan yang diperlukan untuk masuk Tahun 1. Ditambah lagi dengan masalah kekurangan guru yang masih wujud, ia sudah tentu memberi bebanan lebih besar kepada pendidik di negara kita.
Umum tahu, mana-mana dasar yang dilaksanakan tanpa perancangan rapi akan membebankan pihak berkepentingan, seperti ibu bapa, guru dan para pelajar, selain menyimpang dari matlamat asal pendidikan yang adil dan sama rata.
Justeru, kerajaan digesa mengkaji semula dasar ini untuk mengelak salah faham atau percanggahan yang akan mengelirukan serta membebankan ibu bapa dan para pelajar.
Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
22 Januari 2026