Saya merujuk kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura pada 25 April 2025 berhubung dakwaan campur tangan seorang pemimpin PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2025 negara tersebut.

Saya mengambil maklum bahawa pemimpin PAS yang terlibat telah menafikan dakwaan tersebut. Dalam dunia yang saling bergantung, adalah amat penting untuk semua pemimpin politik memahami dan menghormati kedaulatan serta proses demokrasi negara lain. Tiada mana-mana parti politik seharusnya dilihat cuba mempengaruhi pilihan rakyat di luar negara, apatah lagi dalam konteks pilihan raya umum yang merupakan lambang tertinggi demokrasi.

Malaysia sendiri menegaskan prinsip tidak membenarkan campur tangan asing dalam urusan dalaman negara kita. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menunjukkan contoh yang sama terhadap negara lain, termasuk Singapura, sebuah jiran rapat yang berkongsi sejarah dan kepentingan strategik dengan Malaysia.

Sebagai parti yang berpengalaman dalam pemerintahan di peringkat negeri dan Persekutuan, PAS perlu lebih berwaspada dan memastikan sebarang tindakan atau kenyataan yang dibuat tidak menjejaskan hubungan antarabangsa, serta menghormati prinsip asas demokrasi dan kedaulatan negara lain.

Saya yakin bahawa kepimpinan PAS turut memahami betapa pentingnya menjaga kepercayaan antarabangsa, dan akan memastikan semua tindakan selari dengan nilai rasionaliti, kematangan, dan tanggungjawab politik. 

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
28 April 2025