Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyifatkan permohonan sebanyak 351,789 bagi sesi 2027 direkodkan, termasuk 51,457 kanak-kanak berumur lima tahun untuk kemasukan Tahun Satu tahun depan setakat ini (data bertarikh 2 Mac 2026), sebagai bukti keyakinan ibu bapa terhadap kesediaan anak-anak mereka.

Tetapi bagaimana pula persediaan di pihak Kementerian Pendidikan (KPM)? Kah Woh tidak memberitahu, daripada 500 buah kelas prasekolah baharu yang kerajaan rancangkan, iaitu 150 pada 2025 serta 350 lagi pada 2026, berapa banyakkah yang telah disiapkan setakat ini?

Apa pula persediaan KPM seterusnya, terutamanya dari segi tenaga pengajar, bilik darjah serta fasiliti yang berkaitan, termasuk alat bantuan mengajar, peralatan sukan, kemudahan kantin dan seumpamanya, untuk menampung peningkatan mendadak murid Tahun Satu pada 2027, murid Tahun Dua pada 2028, dan seterusnya, sehingga peringkat tertiari 11 tahun kemudian?

KPM harus mempunyai satu pelan tindakan yang komprehensif untuk menghadapi perkembangan yang boleh dijangka ini dalam 14 hingga 15 tahun akan datang, bukannya berpuas hati hanya dengan penyediaan kelas prasekolah tambahan sahaja.

KPM juga harus ingat bahawa permintaan tambahan untuk kelas prasekolah baharu tersebut hanya bersifat sekali, justeru apakah rancangan kerajaan untuk menguruskan tenaga pengajar tambahan ini, selepas permintaan terhadap khidmat mereka menurun dengan ketara selepas 2026?

Ong Chee Siang
Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA
5 Mac 2026