Selepas hampir 9 bulan tertangguh, akhirnya kes saman antara Muhammad Yusof Rawther terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat dibawa ke Mahkamah Tinggi pada satu tarikh yang ditetapkan.

Ini susulan laporan perintah Mahkamah Rayuan kepada Anwar untuk membayar kos RM50,000 kepada bekas pembantu penyelidiknya berikutan keputusan Anwar untuk menarik balik rayuannya berkenaan isu imuniti beliau sebagai Perdana Menteri daripada tindakan saman.

Apabila Anwar mula memohon penangguhan kes saman sivil tersebut pada tahun lepas, rata-rata di media sosial, jelas dilihat bahawa ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Anwar dalam meminta imuniti, atau kekebalan sebagai Perdana Menteri daripada tindakan undang-undang, yang disifatkan ramai sebagai satu bentuk “salah guna kuasa”. 

Atas sebab ini, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata isu ini menunjukkan betapa pentingnya untuk masyarakat umum memahami Perlembagaan Persekutuan dan asas undang-undang negara.

Kenyataan tersebut dibuat menerusi laman Facebook rasminya, di mana beliau turut menekankan kepentingan pengasingan kuasa bagi memastikan mekanisme semak dan imbang berfungsi dengan berkesan.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, prinsip pengasingan kuasa antara tiga cabang utama — Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman — telah termaktub dengan jelas. Prinsip ini bukan sekadar teori, tetapi benteng utama bagi memastikan semak dan imbang (check and balance) berfungsi dengan berkesan,” kata beliau.

Ulas Neow lagi, “Undang-undang tidak boleh dilihat memihak kepada yang berkuasa, dan tidak boleh sama sekali disalahgunakan oleh pihak eksekutif sebagai perisai kekebalan dalam memikul amanah serta tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat”.

Neow juga memetik ungkapan bekas Ketua Hakim England, Lord Hewart, yang berbunyi “Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti juga dilihat sebagai telah dilaksanakan”.

Sikap ini, kata Neow, adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan keluhuran undang-undang dalam sebuah negara demokrasi.

Sebelum ini, Pemuda MCA pernah menyuarakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi memacu pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta memberikan Pendakwa Raya budi bicara pendakwaan yang bebas, yang turut menggesa bahawa pembaharuan SPRM turut dilaksanakan di mana pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak lagi ditentukan oleh Perdana Menteri, tetapi oleh Parlimen.

Penerangan MCA