Usaha pembaharuan MCA di sebalik cabaran besar yang dihadapi parti terus mendapat perhatian di peringkat serantau apabila seorang pemimpin mudanya dijemput berkongsi pandangan dalam Bengkel Kepimpinan Politik Rantau Asia anjuran International Republican Institute (IRI) yang berlangsung di Manila, Republik Filipina, minggu lalu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong telah menerima jemputan khas daripada IRI untuk membentangkan langkah-langkah transformasi yang sedang dilaksanakan oleh MCA bagi memastikan parti kekal relevan dalam landskap politik baharu yang semakin dinamik, khususnya melibatkan penglibatan dan peranan generasi muda.

Menurut Neow, penyertaan beliau dalam bengkel berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan peribadi, sebaliknya mencerminkan keyakinan komuniti politik serantau terhadap usaha pembaharuan dan transformasi yang sedang dilalui oleh MCA.

“MCA sedang melalui satu perjalanan yang tidak mudah, namun ia adalah satu keperluan demi masa depan parti dan negara,” tegas beliau.


Beliau turut menekankan bahawa dalam era politik yang pantas berubah, MCA tidak boleh bersikap statik, sebaliknya perlu sentiasa terbuka untuk belajar, mendengar serta mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara lain.


Hujah dan pandangan yang dikemukakan Neow menerima maklum balas positif daripada para peserta antarabangsa. Ia bukan sahaja mengiktiraf kewibawaan beliau sebagai pemimpin muda MCA, malah mengukuhkan keyakinan bahawa langkah parti menampilkan lebih ramai pemimpin muda sebagai pelapis kepimpinan masa depan berada di landasan yang tepat.

- 𝐏𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 πŒπ‚π€